UMI Hamzah bersama anaknya yang didera ibu angkat.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Kuantan: “Saya bersyukur dan lega, akhirnya dengan perintah mahkamah ini hak penjagaan yang diberikan kepada ibu angkat anak saya sebelum ini secara tidak langsung sudah terbatal.

“Saya harap apabila kes ini selesai saya dapat menjaganya semula,” kata Umi Hamzah, 35, ibu kandung kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang menjadi mangsa dera ibu angkatnya selepas tinggal bersama mereka sejak lapan bulan lalu.

Umi berkata, buat sementara waktu anak bongsunya itu akan ditempatkan selama sebulan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor sementara menunggu siasatan polis selesai.

Katanya, bagaimanapun dia masih boleh melawat anaknya itu pada bila-bila masa biarpun berada dalam jagaan rumah kanak-kanak dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

“Saya hadir ke mahkamah ini dengan bermacam perasaan, saya harap kes anak saya mendapat pengadilan yang sempurna selain mendapat perintah mahkamah (penjagaan sementara oleh JKM).

“Apabila perintah ini diperoleh secara automatik hak penjagaan yang diberikan kepada ibu angkatnya sebelum ini terbatal,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak perempuan itu terpaksa menanggung penderitaan sejak beberapa bulan lalu selepas dipercayai didera ibu angkatnya berusia 29 tahun yang juga saudara terdekat mangsa.

Antara dakwaan kekejaman berkenaan termasuk kemaluan dicurah sambal cili, diberi makan najis, dipaksa tidur di bahagian stor rumah, dipukul setiap hari menggunakan rotan, disimbah air panas, selain badan diseterika akibat kesalahan kecil.

Berikutan itu, Umi membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Sabtu lalu.

Ditanya mengenai tindakannya sebelum ini menyerahkan anaknya kepada saudara terdekat, Umi berbuat demikian kerana dia bekerja tidak tentu masa selain melihat hubungan baik antara kanak-kanak berkenaan dan saudaranya itu.

“Memang tidak sangka nasib anak saya jadi seperti ini. Selepas kejadian itu saya terus berhenti kerja untuk beri tumpuan menjaga anak saya,” katanya.

Umi berkata, dia turut menerima bantuan bulanan daripada JKM bagi meringankan beban keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 6:06 AM