SYED Saleh (lima dari kiri) melawat bilik operasi media elektronik yang membuat liputan haji.
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


Makkah: Buat julung kali pada musim haji tahun ini, Kementerian Haji Arab Saudi mewajibkan jemaah dari seluruh dunia memakai gelang pengenalan diri khas sebagai sebahagian langkah keselamatan lebih ketat.

Langkah terbaru itu bertujuan membezakan jemaah haji rasmi dengan mereka yang datang mengerjakan ibadat berkenaan tanpa mengikut saluran sah.

Berikutan itu, jemaah haji Malaysia perlu memakai dua gelang pengenalan diri selain Lencana Pengenalan Haji (LPH) dibekalkan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah terbaru itu bukan saja bagi memastikan keselamatan jemaah rasmi, malah mengelakkan kesesakan teruk terutama ketika operasi masya’ir.

Beliau berkata, dengan memakai gelang dibekalkan itu, pihak berkuasa Arab Saudi mudah membuat pemeriksaan dan pemantauan secara rambang bagi mengenal pasti status jemaah.

Menurutnya, setiap jemaah yang dibekalkan dengan gelang berkenaan sudah didaftarkan visa haji mereka dalam sistem e-hajj yang dibangunkan Kementerian Haji Arab Saudi.

Gelang pengenalan diri plastik kalis air itu mengandungi maklumat penting jemaah yang turut dilengkapi kod tindakan pantas unik (QR Code) dengan fungsi hampir sama seperti LPH.

Katanya, tindakan itu sebahagian langkah keselamatan tambahan yang lebih ketat, rapi dan tersusun yang dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji kali ini.

Beliau berkata, hal itu kerana semua pihak sedia maklum dengan keadaan keselamatan di rantau Asia Barat ini termasuk di Arab Saudi sendiri.

“Dengan langkah terbaru ini, mereka yang mempunyai gelang berkenaan akan dianggap sebagai jemaah rasmi.

“Dengan itu, hanya mereka akan dibenarkan untuk menyertai operasi masya’ir di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

“Langkah itu juga bagi mengelak kesesakan teruk dan tidak terkawal disebabkan kehadiran jemaah tidak rasmi ini hingga mengganggu jemaah rasmi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di sini.

Menurutnya, bagi jemaah haji Malaysia, pihaknya sudah mula mengedarkan gelang berkenaan secara berperingkat-peringkat melalui pengurusan maktab penginapan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:23 AM