Ikan yang berjaya ditangkap. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


SEORANG penduduk tidak menjangka jaring ikan yang dipasang di Sungai Beriah berhampiran Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, memerangkap ikan tapah seberat lebih 70 kilogram hari ini.

Muhammad Amirul Jamaludin, 27, berkata, kira-kira 7 pagi hari ini, dia bersama bapa, Jamaludin Mahmud, 60, dan adik, Muhamad Aiman Jamaludin, 19, terkejut melihat kelibat sesuatu yang besar tersangkut pada jaring.

Menurutnya, selepas diamati dari dekat, ternyata ia adalah ikan tapah yang besar tersangkut pada jaringnya.

"Jaring ini dipasang pada petang semalam dan akan diperiksa hasilnya pada waktu pagi.

"Kami terkejut apabila mendapati jaring yang dipasang itu mengena ikan tapah gergasi itu lalu membawanya pulang," katanya.

Dia berkata, atas permintaan penduduk kampung, ikan itu disiang dan dijual kepada penduduk dengan harga RM35 sekilogram.

"Alhamdulillah hasil jualan ikan ini kami memperoleh lebih RM2,000 dan selebihnya ada disedekah kepada penduduk.

"Sepanjang memasang jaring di sungai, ini adalah pertama kali kami memperoleh ikan tapah gergasi dan bersyukur dengan kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 7:07 PM