Mangsa maut di tempat kejadian akibat digilis lori tanah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


IBU tunggal maut digilis sebuah lori tanah di persimpangan Che Lijah, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, pagi ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, Marini Ismail, 53, yang tinggal di Perumahan Taman Rakyat Jaya meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketika kejadian, lori tanah itu berhenti di persimpangan tiga manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 berada di belakang lori terbabit.

Bagaimanapun, pemandu lori terbabit dikatakan terkejut dengan sekumpulan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mahu mengadakan sekatan jalan raya.

Berikutan itu, pemandu lori terbabit dikatakan mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar motosikal dan menggilis mangsa.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu bergegas ke tempat kejadian untuk membantu namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 3:45 PM