KEADAAN SK Darau selepas dinaiki air akibat banjir kilat.
Junaidi LadjanaNorasikin Daineh dan Amniera Naziera Amran Recqueal Raimi dan Rafiqah Dahali
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Taburan hujan luar biasa dan hujan berterusan di beberapa kawasan pantai barat Sabah sejak tiga hari lalu menyebabkan lima daerah terjejas dalam banjir kilat yang berlaku kelmarin.

Pegawai Kanan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Agustavia Joe Guasi berkata, hasil pemantauan yang dilakukan di seluruh negeri mendapati kawasan sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Papar dan Kota Belud antara yang terjejas termasuk jalan tidak boleh dilalui, pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Sehingga jam 8 pagi (semalam), untuk di sekitar Kota Kinabalu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu menjalankan pemantauan di kawasan atau jalan yang dinaiki air termasuk Jalan Pintasan Tuaran, Kampung Mansiiang, Jalan Tuaran Lama, Jalan Kampung Timbok, Pekan Manggatal, Kampung Rampayan, Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, Jalan Kampung Pomotodan, Kampung Kitobu, Apartment Seri Wawasan dan Batu 7 Jalan Tuaran.

“Dalam pemantauan itu, tiada operasi pemindahan dilakukan dan hanya dua kawasan terjejas disebabkan pokok tumbang di Jalan Kokol dan Jalan Pintas Ujana,” katanya di sini, semalam.

Agustavia berkata, BBP Penampang turut melakukan pemantauan dan terdapat lima mangsa terjejas dari Kampung Buliga dipindahkan ke rumah saudara selepas rumah mereka dinaiki air.

“Antara kawasan yang turut dipantau termasuk Kampung Kolopos, Kampung Maang, Kampung Kibabaig, Kampung Nampasan, Kampung Kiranau, sekitar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Yue Min dan Taman Penampang, Kampung Sugud, Kampung Sindanan dan beberapa kawasan pejabat kerajaan termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Pejabat Pos Penampang serta Majlis Daerah Penampang.

“Beberapa jalan di daerah ini juga ada yang tidak boleh dilalui termasuk Jalan Sugud dan Jalan Donggongon manakala Jalan Penampang dan Bulatan Sigar sudah boleh dilalui manakala terdapat tanah runtuh berlaku di Kampung Ramayah,” katanya.

Menurutnya, di Kota Belud pula, seramai 84 mangsa termasuk 28 mangsa dari SK Timbang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas lima kawasan terjejas dalam banjir ini.

“Bagaimanapun, seramai 41 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Tun Said manakala selebihnya berpindah ke rumah saudara dan empat guru bersama 24 murid dipindahkan ke PPS Kampung Tembilung.

“Selain itu, terdapat jambatan gantung di Kampung Butong Narinang terputus disebabkan air Sungai Kadamaian melimpah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:57 AM