RAMLI (dua kiri) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Izhari Ariffin
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


POLIS Sabah menahan empat lelaki termasuk seorang warga Filipina dan merampas syabu seberat 7.2 kilogram bernilai RM500,000 di Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam kejadian antara 10.15 pagi dan 1.15 tengah hari itu, semua suspek berusia 27 hingga 39 tahun ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek dipercayai baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Senai, Johor Bahru.

"Dalam tangkapan pertama pada 10.15 pagi di KKIA, kita menahan dua suspek lelaki tempatan yang dikatakan baru tiba dari Semenanjung Malaysia.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui tujuh bungkusan plastik berisi syabu yang disorokkan oleh suspek ini di dalam dua beg sandang dibawa mereka.

"Jumlah syabu yang dirampas dianggarkan seberat 7.2 kg dan bernilai RM500,000," katanya.

Ramli berkata, susulan tangkapan pertama itu, polis menahan dua lagi suspek lelaki dipercayai rakan sejenayah mereka, kira-kira tiga jam kemudian di sekitar Kota Kinabalu.

"Semua suspek berusia 27 hingga 39 tahun itu kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, kes terbabit adalah rampasan kedua terbesar di Sabah tahun ini dan pihaknya masih giat menjejaki saki baki suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Polis percaya suspek ini membawa bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia sebelum diselinap masuk ke Sabah.

"Kumpulan suspek yang dipercayai sindiket dadah ini disyaki aktif sejak awal Januari lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razaruddin Husain.


RAMLI menunjukkan suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan. FOTO Izhari Ariffin

Sementara itu, beliau berkata, polis kini menjejaki seorang lelaki dikenali sebagai Sandi, 30-an, untuk membantu siasatan kes terbabit.

"Sandi diminta tampil segera bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 4:23 PM