Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Digelar The Professor kerana kepakarannya menghasilkan sekeping kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) palsu sepantas lima minit, malah dia memerlukan hanya dua jam untuk menghasilkan pasport palsu.

Itu keupayaan dimiliki seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30-an yang mampu menghasilkan pelbagai dokumen palsu, pelekat, pas dan pasport khusus buat warga asing yang terdesak untuk bekerja di negara ini dengan bayaran antara RM1,000 dan RM4,000 sekeping bergantung kepada jenis dokumen yang dikehendaki.

Namun selepas setahun beroperasi, suspek bersama seorang pembantunya yang juga berasal dari Bangladesh diberkas sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia di dua lokasi berasingan di Ampang, Selangor, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, pelbagai dokumen, pas, pasport dan pelekat ditemui dalam sebuah rumah di Ampang yang dipercayai dijadikan makmal mini memproses dokumen palsu, selain pelbagai kelengkapan dan perkakasan komputer serta elektronik.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan berkenaan disifatkan yang terbesar dilakukan pihaknya setakat ini berdasarkan penemuan kira-kira 229 pelekat pelbagai jenis bagi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas penggajian, pas pelajar dan pas lawatan sosial selain 196 kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 15 e-Kad, enam keping i-Kad dan 13 pasport Bangladesh.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:30 AM
MUSTAFAR menunjukkan kad pekerja palsu pada sidang media, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi, Datuk Jaafar Mohamed (tiga dari kiri) dan Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan M Saravana Kumar (kanan).