AMINUDDIN (tengah) sebak melihat jenazah anak dan rakannya yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kubang Pasu: “Dia sempat jadi pengapit pengantin lelaki yang juga sepupu kami sebelum kejadian itu namun selepas itu kami terkejut apabila dimaklumkan dia meninggal dunia akibat terbabit kemalangan.”

Begitu kata Nurul Nabila Ghazali, 20, sepupu kepada Muhammad Irfan Aminuddin, 20, yang maut bersama rakannya, Wan Qhuzairie Wan Cik, 27, selepas kereta pacuan empat roda, Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 12.7, Lebuhraya PLUS, Changlun berhampiran Kampung Bendang Perang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, difahamkan Muhammad Irfan anak kepada Exco Kedah, Datuk Aminuddin Omar bersama rakannya dalam perjalanan pulang dari Changlun selepas membeli lauk tambah kenduri yang tidak cukup di Dewan Jitra, di sini, dalam hujan lebat.

Aminuddin yang ke lokasi kemalangan sebaik mengetahui kejadian sebak menekup muka sebaik melihat jenazah anaknya yang tersepit dibawa keluar.

Nurul Nabila berkata, dia tidak sedar bila sepupunya itu keluar bersama seorang lagi rakannya.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain hanya sedar mereka berdua tiada di tempat kenduri ketika sesi bergambar apabila kedua-duanya tidak muncul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kereta itu dari Changlun ke Jitra hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok.

“Apabila tiba, polis mendapati mangsa meninggal dunia dan kenderaan belum dialihkan sebelum mayat dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Menurutnya, seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati kenderaan Toyota Hilux remuk teruk selepas melanggar pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:27 AM