MAYAT Che Mohammad Sayuti ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang monsun di Kampung Geliga Che Akob.
HM Digital

Chukai: “Perasaan kesal dan sedih bercampur baur. Mana tidaknya, saya nampak depan mata arwah (Che Mohammad Sayuti Che Jusoh) jatuh dan tenggelam tapi tak mampu buat apa-apa kerana longkang terlalu dalam,” kata Mohd Syafiq Yusni, 21, menceritakan kejadian lemas yang berlaku ke atas rakannya, kelmarin.

Che Mohammad Sayuti, 20, yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, ditemui lemas jam 1 pagi semalam selepas tergelincir dan terjatuh ketika memancing di sebuah longkang monsun di Kampung Geliga Che Akob.

Mohd Syafiq berkata,
dia dan arwah adalah penuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang dan kini mengikuti latihan praktikal di sebuah kilang plastik
di Jakar sejak 1 Ogos lalu.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Syafiq berkata, pada hari kejadian, mangsa mengajaknya memancing
di longkang monsun terbabit yang terletak
di depan rumah sewa mereka.

“Arwah membawa saya ke kedai pancing membeli joran dan kelengkapan lain. Kami mula memancing
jam 10 malam.

“Ketika membetulkan tali pancingnya yang kusut, tiba-tiba arwah tergelincir dan terjatuh ke dalam longkang sedalam empat meter itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:20 AM