PENGUNJUNG menyaksikan pelbagai aktiviti sempena Istiadat Perbarisan Penganugerahan Battle Honour Daulat Februari 2013, semalam.
kenderaan berperisai milik ATM yang dipamerkan.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Bagi memperingati perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan sepanjang Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013, istiadat perbarisan Penganugerahan Battle Honour Daulat Februari 2013 diadakan di Padang Merdeka, di sini, semalam.

Sempena istiadat itu, pelbagai aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipamerkan termasuk kereta perisai dan 13 jenis senjata yang digunakan ketika insiden pencerobohan pengganas terbabit.

Empat kereta perisai milik ATM dipamerkan ialah AV Lipan Bara, Condor 8x8, AV8 Gempita dan MIFV K200 A1.

Pada masa sama, 13 jenis senjata digunakan antaranya meriam 105mm, mortar 81mm M8, GPMG 7.62mm, LMG 5.56mm, mortar 60mm, RPG 7, raifel penembak tepat 7.62mm dan Barrett 12.7mm.

Selain pameran aset, pameran kerjaya turut diadakan bagi menarik minat dan membuka peluang kepada rakyat di Sabah terutama di bandar raya ini yang berminat untuk menyertai ATM dan menjadikan pasukan keselamatan itu sebagai kerjaya pilihan.

Di gerai pameran kerjaya setiap perkhidmatan (darat, laut dan udara), orang ramai boleh mendapatkan semua maklumat yang diperlukan untuk menjadi anggota ATM.

Bukan itu saja, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma juga disediakan pasukan ATM.

Turut menjadi tumpuan, kawad senyap anggota TLDM dan persembahan pancaragam TUDM.

Sebanyak 14 gerai pameran disediakan untuk pengunjung.

Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan berkata, orang ramai berpeluang memahami dengan lebih jelas peranan ATM yang terbahagi kepada tempur, bantuan tempur dan bantuan perkhidmatan.

Acara kemuncak membabitkan 230 pegawai dan 1,880 anggota ATM menyertai Perbarisan Penganugerahan Battle Honour Op Daulat Februari 2013 di Padang Merdeka di sini, malam tadi.

Ia dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 7:06 AM