AHMAD Sali dan Abdul Rahim sebelum berlepas ke Tanah Suci Mekah di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, semalam.
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Detik menjadi tetamu Allah lebih indah apabila saudara terdekat turut mendapat panggilan menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci pada tahun sama.

Situasi berkenaan menjadi antara hari bersejarah bagi keluarga Abd Rahim Padimin, 58, dan Ahmad Sali, 59, apabila dipertemukan ahli keluarga serta sanak saudara yang mengiringi mereka sebelum berangkat ke Makkah.

Kedua-dua jemaah haji yang berasal dari Pengerang, Johor berkata, mereka tidak merancang untuk menunaikan ibadat haji bersama tetapi memanjatkan rasa syukur apabila mendapat panggilan haji yang sama.

Menurut Abd Rahim, dia mula mendaftar haji pada tahun 2009 bersama isteri, Zainon Nasir, 58, dan menunggu lapan tahun untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Walaupun tidak dapat menunaikan ibadat haji bersama isteri, saya perlu reda akan ketentuan Ilahi kerana mungkin ada hikmah di sebalik ini.

“Saya menerima panggilan haji pada bulan Julai lalu dan tidak menyangka hasil titik peluh menyimpan lebihan wang di dalam akuan Tabung Haji setiap bulan membuatkan nama saya terpilih awal berbanding isteri untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji,
di sini.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, giliran haji sepatutnya akan tiba pada tahun 2032, tetapi tidak menyangka dapat menunaikan haji secepat ini lebih-lebih lagi bersama saudara terdekat.

“Saya hanya mampu mengalirkan air mata sebaik menerima surat panggilan haji pada Julai lalu dan terpilih menjadi tetamu Allah selepas menunggu bertahun-tahun.

“Alhamdulillah berkat doa daripada isteri dan ahli keluarga diakhiri dengan kemanisan apabila Allah memberi peluang kepada saya untuk menunaikan haji terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sali berkata, dia tidak menyangka mendapat panggilan haji bersama saudara terdekat walaupun terpaksa pergi menunaikan haji tanpa isteri, Saodah Abd Salam, 58 di sisinya.

“Saya juga mula mendaftar haji pada tahun 2009 dan terus melangsaikan bayaran penuh kepada Tabung Haji untuk pergi menunaikan haji hasil daripada caruman wang simpanan pekerja.

“Ingatkan saya akan pergi seorang diri apabila isteri tidak dapat menunaikan ibadat haji bersama. Tetapi saya dimaklumkan saudara terdekat turut mendapat tawaran sama,” katanya.

Menurutnya, dia memanjatkan rasa syukur apabila diberi peluang menunaikan haji terlebih dulu daripada isteri walaupun pada mulanya rasa terkilan dan sebak.

“Dijemput menjadi tetamu Allah menunaikan ibadat haji tahun ini adalah anugerah terindah dalam hidup saya kerana ini adalah kali pertama saya menunaikan haji.

“Walaupun tidak dapat pergi bersama isteri, saya gembira kerana ada saudara terdekat turut pergi bersama dan kami akan saling membantu antara satu sama lain ketika di Tanah Suci nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:29 AM