RUANG solat sedia ada di Taupo yang hanya dapat menampung 50 jemaah saja dalam satu-satu masa.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Taupo, New Zealand: Perjuangan lelaki ini hanya satu untuk melihat sebuah kompleks masjid dibina
di Taupo, New Zealand sebelum dia menutup mata.

Warga emas ini yang juga Pengerusi Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo, Abdul Kuddus, 65, sanggup berulang alik dari rumahnya di Auckland setiap hari dengan memandu selama tiga jam untuk melawat Taupo Islamic yang bakal berubah wajah menjadi satu kompleks masjid sedikit masa lagi.

“Sebelum saya menutup mata, saya ingin melakukan sesuatu kepada masyarakat Islam di daerah ini.

“Keperluan membina sebuah kompleks masjid sangat perlu kerana saya tidak sanggup melihat orang Islam solat di merata-rata tempat di Taupo. Inilah perjuangan saya yang tidak akan terhenti sehingga terbinanya kompleks ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bapa kepada dua anak itu berkata, jika difikirkan dengan usia sekarang, dia tidak perlu bersusah payah untuk melalui perjalanan tiga jam untuk melihat Taupo Islamic yang menjadi satu-satunya masjid
di daerah itu, tetapi demi ummah sejagat tanggungjawab itu
dirasakan perlu.

“Saya meluahkan hasrat kepada salah seorang rakan, yang juga rakyat Malaysia untuk mencari dana membantu membina masjid besar bagi kegunaan umat Islam di sini.

“Sangat menyedihkan apabila setiap kali solat Jumaat, masjid ini hanya boleh menampung 50 umat Islam dan selebihnya tidak dapat solat berjemaah bersama-sama,” katanya.

Menurutnya, walaupun penduduk Islam adalah golongan minoriti iaitu
hanya 25 keluarga, tetapi kebanyakan warga asing dari Kenya, Indonesia, Turki bekerja di daerah itu adalah orang Islam, malah lebih 100 pelancong Islam datang ke Taupo setiap bulan.

“Rakan saya menyarankan supaya pergi ke Malaysia dan berjumpa dengan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai melalui pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Malaysia cukup terkenal dengan sikap rakyatnya yang dermawan dan disebabkan itu saya ke sana untuk mendapatkan pertolongan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi tiga akaun Muslim Care iaitu Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717.

Katanya, dia berjumpa dengan Setiausaha Agung Muslim Care, Zakaria Abd Latif di sana sebelum mereka menunjukkan beberapa gambar pusat Islam di Warsaw, Poland.

“Saya tertarik dengan konsep dan reka bentuk bangunan di sana sebelum meminta mereka membantu kami di Taupo.

“Bagaimanapun, kami membeli rumah berkenaan dengan nilai RM1.7 juta menerusi pinjaman daripada individu tertentu.

“Daripada jumlah keseluruhan, kami membayar semula lebih separuh pinjaman dan hanya berbaki RM120,000 lagi manakala kos bulanan rumah ini RM1,200,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tiada sumber dana tetap dan semua bergantung kepada derma orang ramai termasuk rakyat Malaysia.

“Saya merayu bantuan rakyat Malaysia demi masyarakat Islam di Taupo yang begitu mahukan sebuah masjid yang dilengkapi pelbagai kemudahan, lebih-lebih lagi membabitkan makanan halal,” katanya.

Ditanya kenapa dia memilih Malaysia untuk mencari dana, Abdul Kuddus berkata, semua umat Islam dunia mengenali Malaysia yang banyak membantu masyarakat Islam lain
di luar negara.

“Malaysia sangat terkenal dengan sifat pemurah dan kerap membantu umat Islam lain di luar negara.

“Lihat saja di Palestin, banyak bantuan diberikan oleh Malaysia yang membuka mata semua penduduk dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:26 AM