SHUKUR (dua dari kanan) bersama Nazipah (kanan) dan Sue (kiri) semasa perasmian Selangor Month di Jurong East, Singapore.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Singapura: Agrobazaar Malaysia-Singapura (ABMS) optimis menyasarkan kutipan nilai jualan produk industri asas tani (IAT) dari Malaysia berjumlah hampir RM1 juta di pasaran negara itu tahun ini.

Ia berikutan prestasi jualan pelbagai produk terutama makanan sejuk beku, jus minuman dan rempah ratus (perencah) mencatatkan peningkatan setakat ini dengan memperoleh kutipan lebih RM379,000, berbanding hanya RM562,000 sepanjang tahun lalu.

Promosi yang giat dilaksanakan ABMS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu bukan saja memberi peluang kepada penduduk republik itu mendapatkan produk segar dan halal malah membantu menjana pendapatan usahawan negara jiran.

Ia membabitkan tiga lokasi promosi utama termasuk Malaysia Halal Centre, di pasar raya Big Box di Jurong East dan Global Halal Hub di Jalan Chai Chee, di sini.

Pengurus Besar ABMS, Noor Hisham Mohamad Sainan berkata, pemerhatian pihaknya mendapati kempen promosi yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu menunjukkan perkembangan positif dan sambutan sangat menggalakkan.

“Setakat ini kami mempunyai 690 jenis produk makanan IAT berkonsepkan ready to eat, cook and drink halal yang mendapat permintaan tinggi rakyat Singapura. Ia membabitkan penyertaan 290 usahawan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan prestasi jualan, nilai kutipan jualan berjumlah SD$ 178,000 (RM559,860) diperoleh sepanjang tahun lalu. Namun sehingga Julai lalu, kami berjaya mencatatkan perolehan SD$ 120,000 (RM377,434) dan kita yakin mampu mencapai sasaran SD$ 300,000 (RM943,585) tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian ‘Selangor Month di Agrobazaar’ di Big Box di sini, semalam.

Ia dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah FAMA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus.

Hadir sama Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA, Datuk Nazipah Jamaludin; Pengarah Urusan Big Box, SNG Sue Hiang, Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin dan Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Razalli.

Majlis penyerahan sijil pelantikan pengedar turut dimeterai antara Abdul Shukur dengan Kementerian Pembangunan Industri Sabah menerusi Setiausaha Tetapnya, Hashim Paijan.

Menurut Noor Hisham, selain peningkatan 50 peratus nilai jualan, pihaknya meyasarkan produk sedia ada akan meningkat sehingga 1,000 jenis.

“Kita dapati rakyat Singapura termasuk bukan Islam menggemari produk halal ‘segera’ dan unik antaranya roti Paratha perisa durian dan keropok lekor selain minuman kesihatan seperti jus campuran botani. Ia menunjukkan citarasa mereka dengan Malaysia sama sekali gus mempunyai potensi besar untuk dipasarkan.

“Justeru, kita mahu membuka peluang kepada usahawan lain untuk mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara dengan kerjasama dan bimbingan FAMA,” katanya yang turut memaklumkan usahawan turut mempromosikan produk IAT sempena Expo Malaysia Fest di Expo Hall Changi.

Menurutnya, tapisan produk dijalankan bagi memilih IAT yang melepasi syarat kemasukan Agri-Food and Veterinary Authority of Singapore (AVA).

Sementara itu, Abdul Shukur berkata, sebanyak 260 produk daripada 57 usahawan dipasarkan bermula 15 Julai hingga 15 Ogos ini sempena bulan promosi produk Selangor di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:52 AM