RUSLAN melihat motosikal curi yang ditemui dalam serbuan di Petaling Perdana.
HM Digital

Kuala Lumpur: Hanya tempoh lima minit diperlukan geng Fendy EX5 untuk mencuri sebuah motosikal menggunakan alat pemutar skru.

Bagaimanapun kegiatan licik kumpulan terbabit ditumpaskan susulan tangkapan dalang utama dikenali sebagai Fendy EX5 bersama dua rakannya dalam serbuan di kawasan Petaling Perdana, Petaling Utama, Selangor, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, polis kerap menerima laporan kecurian motosikal model Honda EX5 di kawasan Taman Sri Sentosa, di sini, dan hasil risikan mengenal pasti kumpulan penjenayah terbabit.

Menurutnya, sepasukan polis membuat serbuan dan menahan dalangnya berusia 27 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah penyalahgunaan dadah.

“Dua rakan suspek berusia 31 dan 34 tahun masing-masing mempunyai lapan rekod jenayah termasuk kes curi, pecah amanah, penyalahgunaan dadah dan cabul turut diberkas.

“Polis merampas tiga motosikal dan pemeriksaan pada casis enjin mendapati ia pernah dilaporkan hilang
di kawasan daerah Petaling sebelum ini,” katanya ketika sidang media,
di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:44 AM