Kemalangan mengorbankan pemandu lori di Kilometer 423 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor hari ini. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my

Foto Ihsan Bomba

PEMANDU lori maut selepas kenderaan itu melanggar belakang treler di Kilometer 423 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor hari ini.

Mangsa, V Dewen, 49, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Kemalangan berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan ke Ipoh melanggar bahagian belakang treler yang berada di lorong kiri.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie berkata, bomba menerima panggilan pada 4.49 petang.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 9:16 PM