PEMANDANGAN Tangga Agung di Istana Besar Johor Bahru. FOTO ihsan Royal Press Office
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PERSIAPAN akhir perkahwinan Diraja antara puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dengan Dennis Muhammad Abdullah berjalan lancar.

Pejabat Media Diraja (RPO) Johor dalam satu kenyataan berkata, persiapan akhir bagi perkahwinan yang bakal berlangsung, Isnin ini sedang rancak dijalankan di Istana Besar, Johor Bahru.

Majlis Perkahwinan Diraja itu secara rasminya sudah dimulakan kelmarin, dengan Istiadat Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar.

"Selain bendera negeri yang dipasang di beberapa jalan utama, persekitaran Istana Besar turut dihiasi dengan bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarna-warni," katanya.

Menurut RPO Johor, majlis doa selamat dan bacaan Yasin akan berlangsung malam ini di Masjid Pasir Pelangi dengan dihadiri keluarga Diraja Johor dan tetamu jemputan.

"Majlis pertunangan pula diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat di Istana Bukit Serene pada 10 pagi, Isnin ini, diikuti istiadat akad nikah," katanya.


KHEMAN besar yang didirikan dilengkapi skrin digital bagi memudahkan tetamu mengikuti Istiadat Persandingan DiRaja di Istana Besar. FOTO ihsan Royal Press Office

Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali pada istiadat akad nikah itu nanti.

Katanya, istiadat persandingan akan diadakan pada 8 malam hari yang sama di Bilik Singgahsana Istana Besar.

"Walaupun Istiadat Persandingan Diraja di Bilik Singgahsana, Istana Besar hanya dihadkan kepada kerabat Diraja dan orang kenamaan, namun tetamu jemputan yang lain boleh menyaksikan majlis berkenaan menerusi skrin digital yang dipasang di khemah putih berhampiran Tangga Agung di istana yang berusia 151 tahun itu," katanya.

Manakala, katanya, orang ramai pula boleh mengikuti Majlis Perkahwinan Diraja di Istana Besar itu secara langsung menerusi dua skrin LED khas yang dipasang di Dataran Bandaraya Johor Bahru dan sebuah lagi skrin dipasang di bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru bermula 8 malam, hari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 6:04 PM