Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur adiknya, Iffriah Darwisah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


ALLAHYARHAM Irdina Batrisyia Abdul Wahab Al Hadi, 8, yang meninggal dunia pagi tadi selepas kritikal disengat tebuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Tiong, Dungun kira-kira 12.30 tengah hari ini.

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan bersebelahan kubur adiknya, Iffriah Darwisah, 3, yang meninggal dunia kira-kira 10.30 malam kelmarin.

Arwah sebelum itu dimandi dan dikafankan di rumah neneknya, Hasmah Ibrahim, 61, di kampung yang sama sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu.

Irdina yang kritikal selepas disengat tebuan dalam kejadian 6.30 petang kelmarin, menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Zuriati Abdul Ghafar, 35, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu 2.30 pagi hari ini.

Dalam kejadian, itu, Irdina dan Iffriah diserang ratusan tebuan ketika bermain di kawasan rumahnya bersama seorang lagi saudara mereka, Izzat Al Haziq, 6.

Berikutan itu, Iffriah meninggal dunia di Hospital Dungun 10.30 malam pada hari kejadian manakala Irdina yang kritikal dirujuk ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.

Berita berkaitan

'Adik maut, kakak kritikal'

'Meninggal dunia di sisi ibu'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:58 PM