ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PEMANDU treler membawa muatan kotak maut manakala kelindan cedera selepas kenderaan itu melanggar belakang lori di Kilometer 231 Lebuhraya PLUS, dekat Rembau, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, treler dari arah Johor ke Kuala Lumpur dipercayai terbabas lalu melanggar belakang lori membawa muatan kayu getah menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Fuad Majid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.17 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi kejadian.

"Anggota tiba di lokasi 20 minit kemudian dan usaha mengeluarkan pemandu serta kelindan terbabit segera dilakukan yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, namun pemandu dikenali Abd Rahim Mohd Baron, 48, disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:21 AM