Pelatih Pusat Giat MARA Baling membantu membersih sisa kebakaran di Maahad Tahfiz Al-Quran, Kampung Tengah Titi Teduri, Mukim Pulai. FOTO Ihsan GIAT MARA BALING
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


SEPULUH pelatih bersama dua tenaga pengajar Pusat Giat MARA Baling memberi khidmat kerja sosial bagi membantu membersih sisa kebakaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Wattarbiyyatul Islamiyah, Kampung Tengah Titi Teduri, Mukim Pulai, semalam.

Mudir maahad itu, Hartini Mat Shokri, 34, berkata, pelatih Pusat Giat MARA menawar diri untuk melakukan kerja membersih bangunan yang terbakar dan kawasan persekitaran secara sukarela.

Beliau berkata, lapan pelajar turut membantu membasuh lantai dan melakukan kerja ringan.

"Saya bersyukur apabila pelatih Giat MARA menawar diri membantu membersih kesan kebakaran di tingkat atas yang musnah.

"Mujurlah beban anak-anak di sini mendapat perhatian semua pihak dan membantu kerja berat dengan membuang sisa yang terbakar," katanya.

Menurutnya, selepas kebakaran itu ramai yang menghulurkan bantuan seperti Pejabat Daerah Baling, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling, Pusat Khidmat Dewan Undangan Bayu dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya bersyukur kerana semua pelajar selamat walaupun kebakaran berlaku berdekatan dengan bilik tidur asrama. Tingkat atas itu dijadikan dewan dan stor serta tilam," katanya.

Hartini berkata, apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT dan tidak pernah berputus asa memberi ilmu kepada pelajar di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 12:31 PM