Bot yang digunakan nelayan Vietnam untuk menangkap ikan di perairan negara. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan dan 18 nelayan Vietnam selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di 43 batu nautika dari Kuala Tanjung Sedili dekat Kota Tinggi, Johor, pagi semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, bot berkenaan ditahan kapal ronda APMM, KM Pekan masing-masing pada 6.57 pagi dan 7.33 pagi.

"Ketika kejadian, satu daripada bot itu seperti cuba melarikan diri daripada pemeriksaan, namun berjaya dipintas dan ditahan.

"Hasil siasatan lanjut, kita mendapati bot terbabit dipercayai melakukan perbuatan menunda kira-kira 12 batu nautika dari pantai Pulau Aur dengan tiga awak-awak yang tidak mempunyai permit kerja yang sah dan kes ini akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot itu menemukan kira-kira 3,000 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dan ikan baja berjumlah kira-kira 1,000 kg.

"Dua tekong dan semua awak-awak yang berusia antara 18 hingga 56 tahun itu ditahan dan bot dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, nelayan pukat tunda menggunakan pukat yang ditarik oleh sebuah atau beberapa bot yang mengaut masuk berbagai jenis ikan tanpa mengira saiz dan memusnahkan dasar laut.

"Ini menyebabkan pupusnya sumber perikanan negara dan mengancam mata pencarian nelayan pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 12:21 PM