BERNAMA

TINDAKAN pesalah kes rogol mengahwini mangsanya tidak akan melindungi pesalah daripada hukuman, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Merujuk laporan akhbar semalam mengenai status kanak-kanak di Sabah yang berkahwin dengan lelaki yang merogolnya, kementerian itu berkata, hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap perogol menunjukkan sistem perundangan sedia ada mantap dalam melindungi mangsa jenayah, khususnya kes melibatkan kanak-kanak.

“Sebagai kementerian bertanggungjawab terhadap perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM mengambil pendirian perkahwinan kanak-kanak tidak digalakkan dan mereka perlu diberi peluang mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

“Dalam hal ini, perkahwinan bawah umur boleh memberi cabaran dan tekanan dari segi fizikal dan mental merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan kewangan terhadap seorang kanak-kanak.

"Walau bagaimanapun, KPWKM akur keputusan mangsa dan keluarga untuk meneruskan perkahwinan bagi pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada," kata KPWKM dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, beberapa akhbar tempatan memetik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, gadis yang kini berumur 16 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tinggal bersama keluarganya, manakala suaminya sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

KPWKM berkata, Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan dengan mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

"Dalam hal ini, KPWKM komited memberikan sokongan sosial yang diperlukan seperti kaunseling dan pemantauan berkala demi kebajikan kanak-kanak dan keluarganya," kata kenyataan itu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan kanak-kanak ini dan akan memberikan sebarang sokongan yang diperlukan demi memastikan dia dapat meneruskan hidup dengan baik, kata KPWKM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:51 PM