Makkah: Berkunjung ke kota suci Makkah amat rugi jika tidak mengambil kesempatan menziarahi lokasi menarik lagi bersejarah yang ada hubungan langsung dengan Rasulullah SAW dan perjuangan baginda.

Baru-baru ini, petugas media yang membuat liputan musim haji 1438 Hijrah berpeluang menziarahi beberapa lokasi bersejarah itu sambil diberi penerangan oleh anggota Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Ramli Ibrahim.

Antara lokasi dikunjungi di sekitar kota Makkah adalah Jabal atau Bukit Thur, Jabal Nur, Masjid Hudaibiyah dan Masjid Jin selain kawasan Perkuburan Ma’lak.

Bukit Thur atau Bukit Thursina mempunyai kaitan rapat dengan Rasulullah SAW kerana di situ lokasi baginda bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar As Siddiq bagi mengelak daripada cubaan membunuh baginda oleh golongan kafir Quraisy.

Malah, peristiwa bersembunyi di Jabar Thur juga menjadi pencetus awal penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah seterusnya mengasaskan negara Islam pertama.

Justeru, peluang menziarahi bukit berbatu setinggi 470 meter dari aras laut itu amat menginsafkan tatkala membayangkan perjuangan baginda demi mengembangkan agama suci.

Seperti kata Ustaz Ramli, persembunyian Rasulullah di Jabal Thur bukan semata-mata menyelamatkan nyawa baginda, malah demi menyelamatkan risalah Islam.

Peristiwa persembunyian di Jabal Thur seterusnya penghijrahan baginda ke Madinah berlaku pada tahun ke-14 kenabian baginda.

Rancangan membunuh baginda dicadangkan Abu Jahal dalam mesyuarat dalam kalangan pembesar Quraisy ketika itu yang disokong seorang lelaki tua yang sebenarnya jelmaan iblis.

Pada malam dijanjikan, 11 pemuda Quraisy mengepung rumah Rasulullah dan merancang membunuh baginda pada waktu Subuh ketika mahu ke masjid.

Bagaimanapun, pada hari berkenaan, Rasulullah keluar dari rumah bersama Saidina Abu Bakar tanpa disedari pemuda terbabit yang tertidur akibat terlalu mengantuk, manakala tempat tidur baginda di rumah itu digantikan Saidina Ali bin Abi Talib.

Berikutan kegagalan rancangan membunuh Rasulullah, maka pembesar Quraisy sanggup menawarkan hadiah 100 unta kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah sama ada hidup atau mati.

Selain Jabal Thur, satu lagi lokasi bersejarah yang perlu dilawati ialah Jabal Nur yang terletak Gua Hira’.

Gua Hira’ tempat Rasulullah menerima wahyu pertama daripada malaikat Jibril ketika baginda berusia 40 tahun dan di situ bermulanya detik kerasulan baginda.

Bukit setinggi 642 meter dari aras laut itu boleh didaki dengan mengambil masa antara satu hingga dua jam. Lokasi Gua Hira’ itu betul-betul tepat menghadap arah Kaabah di Masjidilharam.

Selain itu, petugas media dibawa melawat Masjid Jin yang mengisahkan jin yang mendengar bacaan al-Quran Rasulullah ketika berdialog dengan baginda lalu memeluk Islam.

Seterusnya, petugas media dibawa melihat kesan peninggalan Masjid Hudaibiyah atau bekas masjid tua bernama Masjid Bai’atur Ridhwan yang kini hanya tinggal sisa tiang batu.

Signifikannya lokasi ini ialah tempat termeterainya perjanjian penting dalam sirah Islam dinamakan Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah dengan golongan musyrikin Makkah ketika rombongan baginda dihalang daripada memasuki kota Makkah untuk menunaikan ibadat umrah.

Lokasi terakhir diziarahi ialah Perkuburan Ma’lak iaitu tempat persemadian isteri pertama Rasulullah, Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:53 AM
JABAL Nur lokasi terletak Gua Hira’.