MARY, Mohd Akil (tengah) dan Phua menunjukkan risalah MATTA Fair.

Kuala Lumpur: Lebih 100,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran pelancongan tahunan yang bakal berlangsung tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bermula 8 September depan.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Akil Mohd Yusof berkata, Sarawak ‘negeri bumi kenyalang’ dipilih sebagai destinasi percutian utama tempatan.

“Kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) membolehkan masyarakat di Semenanjung mengenali dengan lebih dekat keindahan dan keunikan yang tersembunyi di negeri itu.

“Sama ada ingin menikmati masakan tradisional pelbagai suku kaum, menjelajah gua yang memiliki keistimewaan tersendiri, berkayak dalam hutan hijau sehinggalah festival muzik bertaraf antarabangsa mampu dipilih daripada pakej yang disediakan,” katanya ketika sidang media di Wisma MATTA, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif STB Mary Wan Mering.

Menurutnya, pameran pada September ini bakal menarik pelancong tempatan berbanding 103,621 pengunjung pada Mac lalu dalam usaha merancakkan lagi pelancongan domestik menerusi tawaran menarik.

MATTA percaya kolaborasi dan sokongan berkenaan membuka peluang kepada lebih 150 agensi pelancongan untuk memperkenalkan negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:55 AM