ADNAN (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi, semalam.

Kuala Lumpur: Kes saman Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu berhubung artikel ‘Hebat Sangatkah Adnan’ berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Ia berikutan kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan untuk penyelesaian berdasarkan beberapa terma tanpa melalui perbicaraan.

Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad merekodkan penghakiman persetujuan bertemu kedua-dua pihak di kamarnya, di sini, semalam.

Antara terma perjanjian persetujuan itu adalah Utusan Melayu sebagai defendan akan menerbitkan kenyataan berhubung penjelasan penerbitan artikel itu di muka surat dua akhbarnya hari ini.

Terma itu turut menyatakan satu temubual akan diadakan antara Adnan (plaintif) dan wakil defendan iaitu penyunting kanan dalam tempoh seminggu.

Kes itu sepatutnya dibicarakan semalam selepas mediasi yang berlangsung sebelum ini tidak menemui penyelesaian.

Peguam Manjeet Singh Dhillon hadir untuk Adnan manakala peguam Datuk M Reza Hassan mewakili Utusan Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:51 AM