Empat suspek Geng Abon yang berjaya ditahan dan kereta yang digunakan mereka manakala gambar kecil, suspek yang masih diburu, Nazrul Ending, 32. - Foto MOHD RUZAINI ZULKEPLI/Ihsan PDRM
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


POLIS berjaya menumpaskan kumpulan Geng Abon yang aktif memecah kereta di sekitar Kota Kinabalu, dalam serbuan berasingan di daerah Tuaran, antara 2 hingga 4 Ogos lalu.

Empat anggota kumpulan berkenaan yang aktif antara Jun hingga Julai lalu, berusia antara 23 hingga 37 tahun, disyaki didapati terbabit dalam jenayah pecah kereta dengan nilai kerugian lebih RM25,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis melakukan beberapa serbuan di sekitar daerah Tuaran untuk menahan mereka.

“Dalam serbuan itu, kita juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun iaitu ketua kumpulan Geng Abon berkenaan,” katanya hari ini.

Menurut Chandra, berikutan penahanan itu, pihaknya percaya empat kes berjaya diselesaikan.

Katanya, polis juga merampas tiga kereta iaitu Toyota Corolla, Perodua Kancil dan Perodua Kelisa yang disyaki digunakan suspek bagi melakukan aktiviti jenayah mereka.

“Polis sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Nazrul Ending, 32, dipercayai berasal daripada Kampung Kota, Tuaran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu, Inspektor Mohandas Ganeson di talian 016-4414939," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:23 PM