MOHAMAD Nasri (tengah) bersama penerima graduan terbaik pada majlis konvokesyen. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


MAJIKAN di negara ini dilihat semakin yakin dengan prestasi dan kemahiran graduan Institut Latihan

Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) sejak Program transformasi ILKBS diperkenalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, statistik menunjukkan 92 peratus graduan

lepasan ILKBS tahun lalu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, manakala

selebihnya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Ketika ini majikan mula yakin dengan graduan lepasan ILKBS, apabila kebolehpasaran ketika ini mencecah 92

peratus iaitu meningkat berbanding 83 peratus pada 2013 sekali gus membuktikan kita berjaya membawa

pembaharuan kepada ILKBS.

"Malah, kita juga menjalinkan hubungan baik dan lebih strategik dengan pihak industri dalam usaha mendedahkan penuntut ILKBS dengan alam pekerjaan termasuk melalui penempatan kerjaya dan praktikal," katanya pada sidang media pada pada Majlis Konvokesyen ILKBS Kali ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk

Lokman Hakim Ali; dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahirann Belia (BPKB), Dr Wasitah Mohd

Yusof.

Terdahulu, 6,226 graduan ILKBS dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) serta Kolej Kemahiran Belia Nasional (KKBN) menerima Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) masing-masing.


KHAIRY (tengah) menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS kepada Mohamad Nasri (kanan) sambil diperhatikan Wasitah (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pada majlis itu, penuntut IKTBN Sepang, Mohamad Nasri Ahmad Maidin, 24, yang mengikuti kursus Diploma

Teknologi Mekanikal (Penyelenggaraan Industri) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan ILKBS.

Khairy berkata, persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap ILKBS semakin meningkat malah, kebanyakan

ibu bapa turut menjadikan institusi ini sebagai pilihan utama untuk anak mereka menyambung pengajian.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati gaji permulaan bagi graduan ILKBS sudah mula meningkat sebanyak 10

peratus iaitu sekitar RM1,800 hingga RM2,600 sebulan.

"Saya percaya dan yakin dengan tahap kebolehpasaran graduan dalam bidang kemahiran, malah kebanyakan

majikan turut memaklum mereka sangat berpuas hati dengan kemahiran teknikal graduan Pendidikan dan

Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan terutama daripada segi kemahiran insaniah

seperti kemahiran komunikasi dengan menggunakan bahasa Inggeris.

"Oleh itu, kita perkenalkan Program 20:50 menjelang 2020 iaitu sebanyak 50 peratus daripada kursus

kemahiran terutamanya bidang perkhidmatan dan 'frontline' di ILKBS akan menggunakan bahasa Inggeris

sebagai medium dalam sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP)," katanya.

Beliau berkata, komunikasi antara kemahiran yang menjadi tumpuan apabila melangkah di alam pekerjaan dan

penguasaan bahasa Inggeris menjadi satu elemen penting.

"Bagaimanapun, dalam memperkasakan penuntut ILKBS dengan penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna

kita meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama," katanya.

Selain itu, beliau berkata, jumlah permohonan ke ILKBS juga sentiasa meningkat dari semasa ke semasa;

malah, sehingga kini terdapat 13,074 penuntut di ILKBS.

"Ini juga menunjukkan ILKBS adalah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang menjadi pilihan belia,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 5:33 PM