Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS belum menerima laporan mengenai kes buli jalan raya membabitkan Perodua MyVi yang didakwa berlaku di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya sedar mengenai video yang tular di laman sosial.

“Bagaimanapun, polis belum menerima laporan berhubung kes itu dan kita harap mereka yang terbabit membuat laporan.

"Walaupun tiada laporan, kita akan lihat juga untuk siasatan tapi mungkin bukan dalam bentuk rasmi.

"Kita akan lihat sama ada individu berkenaan terbabit dalam kes lain atau sebagainya," katanya pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Majlis terbabit menyaksikan pertukaran pegawai bagi tiga jawatan iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Balai Polis Bukit Puchong.

Rakaman video kes buli jalan raya terbabit tular di media sosial selepas dimuatnaik oleh pengguna Facebook, semalam.

Rakaman video terbabit memaparkan Perodua MyVi berwarna hijau memotong barisan dan menukar arah laluan secara mendadak tanpa memberikan isyarat menyebabkan mangsa menekan hon.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit didapati cuba mengejar kenderaan mangsa selepas dipercayai berang dengan tindakan membunyikan hon itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:13 PM
Rakaman video yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca