Anggota polis mengangkat jenazah. (Gambar kecil) Allahyarham Abu Hurairah Ameeruddin. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


REMAJA maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Kilometer 97.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Balai Polis Paka, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan 12.30 tengah malam itu, Abu Hurairah Ameeruddin Abd Karim, 16, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan baru habis bekerja di sebuah restoran makanan segera dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Limbong.

Setiba di persimpangan lampu isyarat, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh kereta dari arah Paka ke Dungun.

Rempuhan kuat terbabit menyebabkan mangsa melambung dan terhentak pada tiang lampu isyarat.

Pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 11:41 AM