Anggota keselamatan mengawal warga asing yang ditahan ketika operasi bersepadu E8 Cawangan Khas bersama PGA, Interpol/NBC, UTK, Unit Pemusnah Bom, Jabatan Imigresen dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom untuk mengesan warga asing yang disyaki mempunyai hubungan dengan pengganas di sekitar Kuala Lumpur. - Foto ROSDAN WAHID
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


BAHAGIAN Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman menerajui operasi bersepadu mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa di kawasan Masjid India, hari ini.

Dalam operasi mulai 12 tengah hari itu, 409 warga asing pelbagai negara ditahan untuk menjalani proses saringan dengan merujuk kepada pangkalan data Interpol.

Ketua Penolong Pengarah E8, Datuk Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi sempena penganjuran Sukan SEA 19 Ogos depan itu disertai hampir 200 keanggotaan termasuk Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Forensik PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, operasi kali ini turut membabitkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang menyediakan alat mengesan radioaktif yang diperolehi daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Seramai 133 ditahan mengikut Akta Imigresen manakala seorang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas ) 2012 (SOSMA).

“Pemeriksaan perlu dilakukan kerana kita bimbang ada antara mereka yang terbabit dengan aktiviti keganasan," katanya.

Dalam operasi sama, polis berjaya mengesan dua unit kondominium yang dipercayai dijadikan markas sindiket pemprosesan dokumen palsu untuk warga asing.

Antara yang berjaya ditemui ialah 70 pasport pelbagai negara, peralatan memalsukan pelekat Jabatan Imigresen Malaysia dan wang tunai sebanyak RM54,102.


Wang tunai yang ditemui ketika operasi bersepadu E8 Cawangan Khas di kondominium dipercayai markas sindiket pemprosesan dokumen palsu untuk warga asing. - Foto ROSDAN WAHID

Sementara itu, Pegawai teknikal AELB Mohd Irwan Effendi Mohd Nordin berkata, tiga alat yang digunakan dalam operasi ini adalah peranti Pengesan Sinaran Persendirian, peranti Pengesan Sinaran Radiasi dan peranti Pengesan Radio Nuklid.

Katanya, semua peralatan ini mampu mengesan elemen bahan aktif seperti sinaran radioaktif dan mengenalpasti tahap radiasi jika bahan itu wujud di kawasan berhampiran.

“Bagi Sukan SEA, kita menerima 120 peranti yang dipinjamkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 10:50 PM