Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 72 laman web dan 54 pautan ke laman web dalam bahasa Malaysia dan Inggeris kerana menyebarkan ideologi militan Daish.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, medium media sosial dikesan menjadi pilihan utama kumpulan militan Daish untuk merekrut ahli baru, terutama golongan muda.

Katanya, negara ini tidak terlepas daripada ancaman Daish dengan golongan remaja menjadi sasaran kumpulan militan berkenaan untuk dijadikan ahli baru.

“Jumlah keseluruhan pengguna Internet di seluruh negara ialah 20.6 juta manakala pengguna aktif media sosial, 16 juta.

"Secara purata penggunaan internet melalui pelbagai laman sosial melebihi empat jam sehari dan medium sosial sangat berkesan untuk militan Daish merekrut ahli baru," katanya berucap merasmikan Majlis Penutup Taklimat Ancaman Daish Kepada Negara di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, hari ini.

Teks ucapan Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu dibacakan pegawai khasnya, Nik Azman Nik Abdul Razak.

Menurut Jailani, ramai golongan muda di negara ini terpengaruh dengan perjuangan yang bertujuan memperkudakan agama untuk menghalalkan keganasan.

Beliau berkata, oleh itu, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta SKMM mengambil tindakan proaktif termasuk mengenal pasti pemilik laman sosial selain menyekat akses media sosial yang dikesan menyebarkan propaganda pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:51 PM