Pelajar dan kakitangan mengemas barangan yang terselamat selepas kebakaran di tingkat tiga bangunan sekolah itu. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


PELAJAR Maahad Tahfiz Al Quran Wattarbiyyatul Islamiyah, Kampung Tengah, Titi Teduri, Mukim Pulai, Baling bersyukur kerana tiada insiden buruk menimpa mereka selepas pusat pengajian itu terbakar hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, lapan pelajar tahfiz tidur di tingkat dua maahad tiga tingkat itu.

Pelajar, Mohd Hazwan Mohd Azha, 16, berkata, dia terjaga apabila mendengar letupan kuat.

"Saya terkejut kerana bunyi letupan kuat dan terpinga-pinga selepas terjaga dari tidur.

"Selepas itu bunyi kayu jatuh dan ternampak api di tingkat atas lalu saya kejut rakan lain dan kami cuba memadam api tetapi tidak terdaya lalu menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

ANGGOTA forensik Jabatan Bomba memeriksa lokasi kebakaran. FOTO Safuri Kamarudin

Menurutnya, suasana ketika itu kelam-kabut kabut dan rakannya melaungkan azan beberapa kali kerana terkejut dengan kejadian itu.

"Syukurlah kami semua selamat dan tidak ada kemalangan berlaku, malah pakaian dan al-Quran serta kitab-kitab tidak rosak kerana berada di tingkat bawah.

"Bomba bertindak cepat mengawal api daripada merebak dan menyelamat harta benda kami daripada musnah," katanya.

Rakanya, Mohd Farid Zulkarnain, 12, dari Sungai Petani berkata, mereka terjaga apabila rakan menjerit memberitahu maahad terbakar dan bingkas bangun sebelum berlari turun untuk menyelamat diri.

Dalam kejadian 1.40 pagi itu, tingkat atas bangunan maahad itu musnah terbakar.

Berita berkaitan:

Pondok tahfiz terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 11:59 AM