Jertih: “Arwah beberapa kali minta air untuk minum ketika berada dalam kereta sewaktu saya membawanya ke hospital, tetapi tidak dituruti kehendaknya itu kerana bimbang keadaannya menjadi lebih teruk,” kata Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30.

Mohd Rosmin adalah bapa kepada Muhammad Adrian Aiman, 8, yang maut disengat tebuan ketika bermain bersama rakannya di Kampung Benting Lintang.

Muhammad Adrian disahkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan selepas disengat tebuan petang Rabu lalu.

“Dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di atas pokok di kawasan itu dan anak saya paling banyak kena sengat di seluruh badan.

“Berdasarkan kesan pada tubuhnya dipercayai dia disengat lebih 60 ekor tebuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Benting Lintang.

Menurutnya, Muhammad Adrian dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan motosikal pada jam 6.45 petang dan ketika itu dia berada di kandang lembu di tepi rumah bersama isterinya Nor Azah Hamid, 27.

Mohd Rosmin berkata, keadaan anaknya ketika itu sudah lemah, tetapi masih boleh bercakap dan menyebabkan dia bersama isteri terus mengejarkannya ke Hospital Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:05 AM