Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melumpuhkan empat kumpulan Along dengan menahan 29 individu termasuk dua wanita di sekitar Lembah Klang, Selangor dalam operasi bermula 30 Julai lalu hingga semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani berkata, operasi membabitkan 39 pegawai dan anggota daripada Bahagian Risikan dan Operasi itu dijalankan bagi melumpuhkan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along.

"Dalam operasi itu, kami menahan 29 individu termasuk dua wanita terbabit dengan empat kumpulan along yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang, Selangor.

"Kami turut merampas kad ATM, kenderaan, wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba," katanya.

Acryl berkata, penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan sembilan kes dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dari tempoh 2015 hingga tahun ini.

"Semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Kejayaan itu turut dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya, hari ini.

"Syabas lagi JSJK Bukit Aman tangkap 29 individu dan melumpuhkan empat kumpulan along di sekitar Lembah Klang, Selangor. (Tangkapan itu) Selesaikan sembilan kes (dilaporkan)", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 10:57 PM