PENGUNJUNG melihat model rumah pada pameran hartanah MyRumah. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


PENGANJURAN Pameran Hartanah MyRumah oleh The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Alor Setar adalah selari dengan aspirasi kerajaan negeri Kedah dalam merealisasikan usaha 'Satu Keluarga, Satu Rumah'.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dalam satu analisa yang dilakukan oleh pakar hartanah, sektor perumahan di kawasan utara Semenanjung Malaysia termasuk di Kedah kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat sehingga pelbagai firma pemaju perumahan hartanah berlumba-lumba meneroka pembangunan hartanah di kawasan ini.

"Perkembangan sektor perumahan dan hartanah di kawasan utara Semenjung Malaysia terutama di Kedah dilhat akan mampu memberi satu perkembangan yang positif dalam pembangunan ekonomi di negara ini.

"Malah, kemakmuran negara dan negeri ini juga akan dapat menjadi penanda aras kepada keadaan ekonomi semasa dan disebabkan itu jugalah pemaju perumahan bukan sahaja pihak swasta tetapi juga kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk membangunankan perumahan serta hartanah yang lain di negeri ini.

"Selain itu juga, penganjuran pameran ini juga dapat membantu kerajaan negeri dalam memenuhi permintaan rakyat dalam menyediakan perumahan di negeri ini selaras dengan aspirasi kami iaitu 'Satu Keluarga, Satu Rumah' di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Pameran Hartanah MyRumah anjuran NSTP di Aman Central Mall di Alor Setar, hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri tidak mampu untuk melakukan sendiri, sebaliknya kerjasama daripada pihak seperti kumpulan pemaju yang menjadi pemain utama industri amat diperlukan untuk mewujudkan suasana muafakat yang turut dijayakan NSTP melalui pameran MyRumah ini.

"Dalam keadaan pembangunan yang semakin pesat di Kedah, kerajaan negeri menggerakkan usaha untuk melihat sektor perumahan di Kedah semakin rancak pastinya setiap dasar diluluskan berkaitan perumahan dipastikan lebih mesra untuk mewujudkan suasana 'menang-menang' bagi semua pihak yang turut meliputi pembeli.

"Kepesatan pembangunan menjadi penanda aras kepada ekonomi negeri dan di Kedah bukan sahaja pemaju swasta, tetapi anak syarikat kerajaan negeri juga aktif membangunkan hartanah dalam pelbagai bentuk, demi memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri tetapi pemaju kalau boleh jangan jual terlalu mahal kepada rakyat Kedah," katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.


AHMAD Bashah (dua kanan) bersama Abdul Jalil (tiga kiri) dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim ( kanan) melihat model rumah pada majlis perasmian MyRumah. FOTO Amran Hamid

Sementara itu, Abd Jalil berkata, pasaran hartanah di Kedah dilihat semakin meningkat selepas terbinanya landasan berkembar Ipoh-Padang Besar-Ipoh yang membawa kepada Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang memberi kemudahan kepada masyarakat di kawasan Utara Semenanjung Malaysia untuk bekerja atau menetap di negeri itu.

"Projek berkenaan dilihat mampu membantu pasaran hartanah terutama di selatan Kedah sehingga ke bahagian tengah negeri itu seperti di Alor Setar dimana orang ramai yang menetap di negeri sekitar Kdah seperti Pulau Pinang atau Perlis boleh menggunakan kemudahan awam seperti ETS untuk ke Alor Setar dalam masa tidak sampai satu jam.

"Malah dengan perkembangan ETS yang menghubungkan Kedah ke negeri sekitar juga mampu meningkatkan perkembangan hartanah di sekitar Bandar Raya Alor Setar," katanya.

Tambahnya, sebagai syarikat media yang turut menaungi akhbar utama negara seperti The New Straits Times, Berita Haran dan Harian Metro, NSTP sangat komited dalam menyumbang kepada pembangunan negeri.

"Dengan 20 kakitangan sepenuh masa serta 10 kakitangan sambilan di NSTP Kedah, kami mampu menjadi penyebar informasi mengenai hartanah atau perumahan yang ada dijual di pasaran dengan harga yang berpatutan kepada msyarakat di negeri ini.

"Malah, dengan penganjuran pameran ini juga selain daripada mencari hartanah yang sedia ada, masyarakat juga mampu memperoleh pengetahuan berguna berkenaan pemilikan perumahan dan hartanah menerusi ceramah atau perbicangan yang dianjurkan semasa pameran ini," katanya.


ORANG ramai melawat pameran MyRumah. FOTO Sharul Hafiz Zam

Kedah adalah destinasi ketiga MyRumah 2017 selepas Balai Berita NSTP di Bangsar, Kuala Lumpur, Mac lalu dan Komtar JBCC di Johor Bahru pada Mei.

Pameran pada ini meghimpunkan sembilan syarikat pemaju terbabit adalah Aman Setia Group, Belleview Group, Bina Darulaman Berhad (BDB), Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramount Properties, Sunsuria Berhad dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd.

Manakala, syarikat bukan pemaju yang terbabit pula adalah Aman Central, Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Cuckoo, Grab, LG, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lepro System Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 7:11 PM