NURRIN

Hampir 14,000 jemaah haji Malaysia atau 46 peratus daripada keseluruhan kuota rasmi 30,200 orang sudah tiba di Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada musim haji kali ini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) 1438 Hijrah Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata, sehingga kelmarin, daripada jumlah itu, seramai 10,900 jemaah berada di Madinah manakala bakinya sudah tiba di Makkah.

Beliau berkata, baki kira-kira 16,200 jemaah lagi masih menunggu penerbangan mereka di tanah air.

Menurutnya, pada musim haji kali ini, keseluruhan terdapat 110 penerbangan yang akan membawa semua jemaah ke Tanah Suci.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 penerbangan akan terus ke terminal haji Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, Madinah manakala 64 penerbangan lagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah sebelum menaiki bas ke Makkah.

Menurutnya, sehingga kelmarin juga, sebanyak 29 penerbangan sudah tiba di Madinah manakala lapan penerbangan di Jeddah menjadikan keseluruhan 37 penerbangan.

Katanya, bagi petugas haji pula, daripada keseluruhan 600 orang, seramai 565 orang sudah berada di Tanah Suci sama ada di Makkah, Madinah atau Jeddah.

Beliau berkata, bagi jemaah yang sudah tiba di Tanah Suci, TH menyediakan lapan modul bimbingan untuk mereka.

Menurutnya, tiga modul berkaitan ibadat haji sebagai ulang kaji kepada mereka, empat modul berkaitan pengurusan dan satu modul kesihatan.

Katanya, bagi modul ibadat haji, ia dikendalikan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) manakala modul pengurusan pula dikendalikan Pengurus Maktab masing-masing.

Beliau berkata, modul kesihatan dikendalikan petugas perubatan berkaitan aspek penjagaan kesihatan.

Mengenai keadaan jemaah haji, katanya, di Madinah, terdapat kurang 10 kes jemaah ditempatkan di pusat rawatan dengan kebanyakannya berkaitan sakit biasa seperti demam dan keletihan manakala di Makkah belum ada jemaah ditempatkan di pusat rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 4:29 AM