OTHMAN (kanan) memeriksa senapang angin yang dirampas.

Kuantan: Curi kenderaan berat untuk pasaran di tanah rancangan FELDA di negeri ini. Itu modus operandi empat lelaki yang aktif mencuri lori tiga tan di negeri ini dan Lembah Klang, sejak awal tahun ini.

Namun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dalam Ops Lejang yang diadakan pada 7 hingga 25 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, suspek berusia antara 33 hingga 42 tahun adalah orang tempatan dan mereka menyasarkan kenderaan berat itu kerana mendapat permintaan pengusaha ladang.

“Polis difahamkan kenderaan curi ini digunakan dalam ladang untuk mengangkut hasil tanaman dan ada permintaan terhadap kenderaan curi membuatkan suspek aktif melakukan jenayah berkenaan.

“Siasatan polis mendapati setiap kenderaan berat itu dijual dengan harga RM20,000 hingga RM30,000 dan ia jauh lebih murah daripada harga asalnya iaitu sekitar RM130,000,” katanya.

Othman berkata, semua suspek ditahan secara berasingan iaitu dua suspek pada 10 Julai, manakala masing-masing seorang ditahan pada 7 dan 12 Julai.

Katanya, pihaknya merampas 11 lori serta sebuah kenderaan pacuan empat roda membabitkan nilai RM300,000.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan di FELDA di beberapa daerah di negeri ini termasuk Bentong, Raub, Temerloh dan Pekan.

“Kami dapati ada kenderaan berat terbabit dilaporkan hilang di Lembah Klang dan polis melakukan siasatan sama ada mereka mencuri sendiri kenderaan itu dari kawasan berkenaan atau membelinya daripada pihak lain atau menjadi orang tengah kegiatan terbabit.

“Hasil semakan kompol (kes lama) juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam pekembangan lain, Othman memaklumkan pihaknya menahan tiga lelaki terbabit dalam kejadian samun rumah kongsi di Kampung Sungai Soi, di sini, 26 Julai lalu.

Katanya, suspek iaitu penganggur berusia 19 hingga 25 tahun menyamun pekerja kebun sayur warga Indonesia pada 22 Julai lalu jam 4 pagi bersenjatakan parang.

“Suspek mengejutkan mangsa dan meminta menyerahkan barang berharga sebelum melarikan 20 liter racun rumput, wang tunai, telefon bimbit, mesin racun rumput, mesin rumput serta dua bateri enjin lori yang semuanya bernilai RM8,600,” katanya.

Menurutnya, suspek direman sehingga 7 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:25 AM