YEE didakwa memukul seekor anjing di pondok pengawal taman perumahan di Bandar Kinrara, Puchong.

Petaling Jaya: Seorang ahli perniagaan warga Singapura yang tular di media sosial kerana didakwa membelasah seekor anjing yang dipanggil Furby di pondok pengawal taman perumahan di Bandar Kinrara, Puchong, April lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

Yee Kok Chew, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Yee yang juga orang kena saman (OKS) dilihat tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak zalim memukul, menyakiti, dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong jam 8.49 malam pada 2 April lalu.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim mencadangkan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Joshua Andran yang mewakili OKS bagaimanapun tiada bantahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit 43 saat tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul anjing itu dengan ganas menggunakan topi keledar.

Yee telah memohon maaf. Beliau mendakwa dirinya ‘marah’ selepas anjing itu, yang dikenali sebagai Furby menyerangnya. Dia juga mendakwa anjing itu sebelum ini pernah menyerangnya.

Perbuatan lelaki itu mengundang kemarahan pencinta haiwan sehingga 50 individu berkumpul di Taman Melody untuk mendesak supaya Yee ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 3:47 AM