MANGSA (kanan) maut di lokasi kejadian ketika membuat pemeriksaan bas yang rosak. FOTO ihsan pembaca
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


LELAKI maut dirempuh motosikal ketika memeriksa basnya yang rosak di tepi jalan di Kilometer 196.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Kerian, hari ini.

Dalam kejadian 5.21 pagi itu, Rusmadi Idris, 46, yang beralamat di Kampung Pengkalan Bujang, Badon Kedah maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal berusia 17 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati bas yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Klang, Selangor menghala ke Hadyai, Thailand sebelum kenderaan itu mengalami kerosakan.

Katanya, mangsa menghentikan bas di lorong kecemasan sebelum membuat pemeriksaan di bahagian belakang bas itu.

"Motosikal yang secara tiba-tiba datang dari arah sama melanggar bahagian belakang bas sebelum merempuh mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 4:51 PM