SULAIMAN
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Sanggup menjual rumah kesayangan demi memastikan impian melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

Demikian pengorbanan dilakukan seorang warga emas demi mencukupkan wang simpanannya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ternyata usaha Sulaiman Eyit, 64, berasal dari Kajang, Selangor tidak sia-sia apabila dia terpilih ke Tanah Suci tahun ini bersama isteri.

Sulaiman berkata, dia berhasrat menunaikan haji dalam waktu terdekat ini memandangkan tahap kesihatannya kurang memuaskan, selain bimbang tidak sempat untuk ke Tanah Suci.

“Saya beranggapan tidak rugi menjual rumah di Kajang walaupun cukup perit membelinya 20 tahun lalu.

“Namun mungkin rezeki saya berada di tempat yang lain kerana percaya demi merealisasikan impian kita kena korbankan apa yang ada,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Sulaiman berkata, rumah dibeli hasil titik peluhnya sebelum ini yang membuka bengkel kereta dan hasil itu digunakannya untuk menyara kehidupan sekeluarga.

“Rumah itu memang banyak jasanya terutama hasil daripada jualan boleh digunakan bagi menunaikan ibadah haji.

“Walaupun sedih kerana menjualnya namun jauh di sudut hati saya gembira kerana tidak perlu berhutang atau meminjam daripada orang lain untuk ke Tanah Suci,” katanya.

Selain itu, katanya, sebagai persiapan ke Makkah, dia menjaga pemakanan, selain tidak mengambil makanan berlemak atau minum manis.

“Saya mempunyai masalah kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang namun doktor berkata ia masih terkawal dan boleh mengerjakan haji tanpa masalah.

“Namun ia memberikan peringatan kepada saya supaya lebih berdisiplin dalam soal pemakanan untuk mengerjakan ibadat dengan lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:34 AM