SHAFIEN menunjukkan vest polis dirampas daripada Geng Asad pada sidang media di IPD Shah Alam.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Kumpulan samun Geng Asad yang dianggotai warga asing dan memakai vest polis akan membawa mangsanya, juga warga asing ‘makan angin’ dengan menaiki kereta sebelum disamun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, Geng Asad ditubuhkan empat bulan lalu dan barangan berharga mangsa dirampas sepanjang dibawa menaiki kereta sebelum ditinggalkan di lokasi tertentu.

“Penahanan suspek membolehkan kami menyelesaikan lima kes samun membabitkan warga asing. Kejadian terbaru membabitkan lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun.

“Mangsa disamun pada 17 Julai lalu di Seksyen 15. Suspek turut memeriksa pasport mangsa, penjenayah kemudiannya mengambil wang tunai, telefon bimbit dan barangan berharga lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Menurut Shafien, pihaknya kemudian menubuhkan pasukan khas dan tiga hari kemudian, seorang lelaki warga Pakistan berusia 32 tahun ditahan di Kota Kemuning.

“Tangkapan itu membawa kepada penemuan vest polis dan dompet. Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek yang juga warga Bangladesh keesokan harinya di lokasi sama.

“Hasilnya, kami dapat menyelesaikan lima kes samun di sekitar Kota Kemuning, Subang Jaya dan Petaling Jaya. Ia membabitkan kerugian keseluruhan RM6,000 dan kedua-dua suspek diserahkan kepada IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan kereta yang dilaporkan hilang di Klang ketika melakukan jenayah ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:21 AM