Tekong dan awak-awak Indonesia yang ditahan APMM semalam. - Foto Ihsan APMM
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang sedang menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Daerah 4 Klang Kapten Maritim Abu Zaki Mohamad berkata, kapal KD Kinabalu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesan bot berkenaan kira-kira 30 batu nautika dari perairan Tanjung Karang, sekitar jam 10.45 pagi sebelum memaklumkan kepada pihaknya.

Menurutnya, bot ronda APMM yang melakukan pemeriksaan terhadap bot sepanjang 20 meter itu menahan enam individu, termasuk tekong.

“Pemeriksaan di atas bot mendapati ada sebuah tong ikan, 16 rawai dan sebuah pukat.

“Tekong dan awak-awak adalah lelaki berusia antara 21 hingga 41 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot nelayan terbabit kemudiannya dibawa ke jeti DM4 untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:09 PM