Ahmad Razif (kanan) bersama Omar (kiri) meneliti barangan ketika melawat zon bebas cukai selepas melancarkan Operasi Jualan Bebas Cukai di Dataran Kenyir, Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir. FOTO Rozainah Zakaria
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


ZON Bebas Cukai Tasik Kenyir (ZBCTK) hanya membabitkan jualan peruncitan dan tidak termasuk barangan berduti tinggi seperti produk berkaitan petroleum, kenderaan, minuman alkohol, rokok dan tembakau.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Omar Ismail berkata, pewartaan rasmi zon itu yang dibuat pada 27 Januari lalu diperoleh selepas proses berkenaan dipenuhi dengan operasi jualan bermula di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir pada hari ini.

Menurutnya, fasa jualan seterusnya iaitu di Kompleks Bebas Cukai di Pulau Bayas dijangka akan bermula pada 1 Ogos tahun depan.

Katanya, barangan yang akan menjadi tonggak ZBCTK ialah coklat, pinggan mangkuk, peralatan dapur, minyak wangi dan bagasi.

"Dengan pembukaan ZBCTK, KETENGAH mensasarkan menarik seramai 750,000 pengunjung ke Tasik Kenyir sepanjang tahun ini.

"ZBCTK ini akan berganding bersama tarikan lain yang sedia ada seperti Kenyir Island Hopping, Sentuari Kelah dan Perkampungan Konservarsi Gajah Kenyir (KECV)," katanya di majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Gawi, hari ini.

Menurutnya, penduduk tempatan juga akan menikmati hasil daripada pembangunan Tasik Kenyir, contohnya rumah bot kini sudah ada sebanyak 42 manakala bot laju sebanyak 72 sekali gus ia membuka peluang perniagaan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 12:15 PM