Chandra (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu Asisten Superitendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukkan antara dadah yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri dan seorang suri rumah ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu, ketamin dan pil Eramin 5 bernilai RM12,000 dalam serbuan di Inanam dan Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu, Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 31 hingga 56 tahun itu ditahan selepas didapati terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 4.15 petang di sebuah kedai dobi berhampiran Inanam pada Jumaat lalu, polis berjaya memberkas seorang wanita berusia 31 tahun sebelum menemukan satu kotak berwarna kuning berisi 55 pil Erimin 5.

"Soal siasat terhadap suspek kemudian membawa kepada rampasan 10 pil Erimin 5 serta sepaket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 102.78 gram di rumah sewanya yang turut terletak di Inanam.

"Hasil siasatan lanjut, suspek yang juga seorang suri rumah ini turut disahkan positif dan pernah ditahan atas kesalahan memiliki dadah," katanya, di sini, hari ini.

Chandra berkata, dalam kejadian kedua, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Kampung Sembulan Lama, di sini, 11 malam Sabtu lalu, dan menahan sepasang suami isteri yang disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah syabu.

"Kedua-dua pasangan suami isteri berusia 54 dan 56 tahun itu dicekup selepas hasil pemeriksaan di rumah mereka berjaya menemui 57 paket plastik berisi syabu seberat 33.80 gram.

"Syabu itu dipercayai disorokkan oleh kedua suspek di bahagian zink dalam tandas rumah mereka sebelum berjaya dirampas," katanya.

Tambah Chandra, semua dadah yang dirampas berjumlah RM12,000 dan suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:37 PM