Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka sebaik dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


LELAKI dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini, selepas didapati bersalah menculik dan membunuh seorang remaja lelaki, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril terhadap tertuduh, Low Chiew Mun, 52, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, Low didakwa menahan mangsa yang berusia 13 tahun untuk wang tebusan berjumlah RM20,000.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di premis Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka antara 6.30 petang, 20 April hingga 6 petang, 21 April 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Mohd Hilmy Samsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 3:05 PM