Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan penduduk kampung
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


WARGA emas berusia 61 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh motosikal lain di simpang tiga Masjid Al-Nur, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian 9.15 malam itu, Muslihah Damanhuri menunggang Honda Wave bersendirian.

“Ketika kejadian, wanita itu dikatakan keluar dari arah masjid dan mahu memasuki simpang tiga Pekan Selasa Lama.

"Namun, sebuah Modenas Dinamik ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun dari arah bertentangan melanggar bahagian depan motosikal mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Kata Nor Azmi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 12:50 PM