NURRIN
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my

Bagi memudahkan pengecaman jemaah mengikut maktab masing-masing, buat julung kali pada musim haji tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan 13 tali penyandang Lencana Pengenalan Diri (LPH) dengan warna berbeza.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata, langkah itu berikutan pertambahan bilangan kuota jemaah 30,200 orang tahun ini berbanding 22,300 orang pada musim haji lalu.

Beliau berkata, pada tahun ini, bilangan Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) meningkat kepada 24 berbanding sembilan pada musim haji lalu yang dibahagikan kepada 13 maktab.

Menurutnya, bilangan keseluruhan maktab itu ditentukan Muassasah Asia Tenggara yang bertanggungjawab menguruskan jemaah dari negara Asia Tenggara dan dibahagikan kepada lima zon.

Katanya, setiap maktab secara purata mengandungi 2,700 jemaah dan mereka memakai tali penyandang LPH dengan warna berbeza mengikut maktab masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, TH juga memperkenalkan satu lagi tali penyandang khusus untuk jemaah yang kali pertama melaksanakan ibadat umrah di Masjidil Haram atau ziarah di sekitar Makkah.

“Pengenalan tali penyandang khusus itu memudahkan petugas menghantar jemaah pulang ke maktab masing-masing jika tersasar daripada kumpulan dalam masjid atau salah memasuki maktab,” katanya pada sidang media di ibu pejabat TH Makkah di Abraj Al Janadriyah, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:06 AM