Kemalangan mengorbankan penunggang motosikal di Jalan Persiaran Ros, Bandar Baru Bukit Sentosa, Rawang malam semalam. FOTO ihsan PDRM
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


PEKERJA kilang maut selepas motosikal ditunggang melanggar kereta di Jalan Persiaran Ros, Bandar Baru Bukit Sentosa, Rawang malam semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, Muhammad Mu'azlami Iqil Pea'i, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai gagal mengelak kenderaan yang membelok masuk ke persimpangan itu.

"Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 50 tahun.

"Kejadian berlaku apabila Toyota Hilux dari arah bandar Bukit Sentosa hendak masuk ke simpang Jalan Jenjarum 1 dan pada masa sama motosikal dari arah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa terus melanggar bahagian hadapan sebelah kiri pacuan empat roda itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Katanya, waris mangsa yang tinggal di Terengganu juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 5:11 PM