Sebahagian petugas haji yang menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat memohon kelancaran operasi haji musim ini di ibu pejabat TH Makkah, malam tadi. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


LEMBAGA Tabung Haji (TH) sudah bersedia sepenuhnya menerima kedatangan jemaah haji ke Makkah mulai hari ini untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi musim haji 1438 Hijrah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata, pihaknya sudah membuat persiapan sejak dua minggu lalu membabitkan kemudahan prasarana dan perubatan untuk jemaah.

Bagi aspek kebajikan jemaah, antaranya membabitkan maktab penginapan, pusat perkhidmatan, pusat rawatan, kaunter kewangan, petugas maktab, pembimbing ibadat, kaunselor sehingga tukang masak sajian jemaah.

Beliau berkata, bagi aspek perubatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), ia membabitkan doktor pakar dan pegawai perubatan, kakitangan farmasi serta jururawat.

Menurutnya, perkhidmatan sokongan disediakan pula membabitkan kafeteria, perkhidmatan telekomunikasi i-Talk oleh Telekom Malaysia Berhad dan pembelian kad SIM dengan kerjasama Saudi Telecommunications Company (STC) serta WiFi dan Internet di lokasi tertentu.

Katanya, kumpulan pertama dan kedua jemaah Malaysia seramai kira-kira 700 orang dijangka tiba di Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah, tengah hari dan petang nanti.

Menurutnya, memandangkan musim haji kali ini berlangsung dalam musim panas, jemaah dinasihatkan banyak meminum air serta mengelak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas.

Beliau berkata, berikutan pertambahan bilangan jemaah tahun ini kepada 30,200 orang, selain mematuhi arahan pihak berkuasa, jemaah digalak mengamalkan sikap kendiri dengan menguruskan diri sendiri dan membantu rakan jemaah lain.

"Walaupun TH ada menyediakan petugas yang akan membantu jemaah, namun kita menggalakkan jemaah yang muda dapat membantu jemaah lebih tua," katanya.

Menurutnya, bagi membantu pergerakan jemaah berulang-alik dari maktab penginapan ke Masjidil Haram, TH menyediakan khidmat peronda yang ditempatkan di lima atau enam stesen di sekitar masjid.

"Peronda ini akan membantu jemaah yang mungkin tersesat untuk mencari jalan pulang ke maktab penginapan masing-masing.

"Bagi jemaah yang uzur atau kurang upaya, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan teksi dengan bayaran standard ditetapkan antara SR1 hingga SR2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:56 PM