BADROL (kanan banting, baju hitam ) merakamkan kenangan bersama kumpulan projek Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad selepas merasmikan Program Karnival Alam Lestari. FOTO MOHD SHARUMNISHAM SHAHBUDIN.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
am@hmetro.com.my


PROJEK Jimat dan Cekap Elektrik dilaksanakan enam pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad membantu penduduk sebuah taman perumahan dan masjid di Padang Terap menjimatkan penggunaan elektrik sehingga 20 peratus.

Pengetuanya, Rosleesham Saad berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesan karbon yang semakin serius masa kini.

"Projek ini dimulakan pada Januari lalu apabila sekolah ini terpilih mewakili Kedah dalam Pertandingan Toyota Eco Youth 2017 peringkat kebangsaan.

"Peserta projek yang dibimbing oleh guru, Siti Hajar Johari, 35, Hafizuddin Yahaya, 30, dan Rushayati Abdul Rahim, 31, membuat kaji selidik membabitkan 30 daripada 231 rumah di Taman Jati Fasa 2 di sini dan mengenal pasti punca berlakunya pembaziran elektrik," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Program Karnival Alam Lestari di Dataran Putra, Padang Terap, hari ini.

Perasmian karnival disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Rosleesham berkata, enam pelajarnya iaitu Hafizah Mohammad Rozi, Nurul Asyikin Zainal Abidin, Bee Jian Sien, Muhammad Nor Nadzmi Ab Wahab Arif Arman Mazlan dan Muhammad Alif Hilmi Khairil Hazaimi, mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi lain untuk berkempen dengan pelbagai medium serta mempromosikan kaedah penjimatan elektrik di taman berkenaan dan juga di Masjid Muadzam Syah di pekan Kuala Nerang.

Katanya, pada 1 Ogos ini, pihak penganjur pertandingan akan membuat lawatan ke tapak kajian sebelum membentangkan di peringkat akhir Oktober nanti.

Sementara itu, Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha yang diambil dalam melestarikan alam sekitar.

"Kita akan menggerakkan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk membantu sekolah ini bukan sahaja menjayakan projek mereka tetapi juga memenangi pertandingan ini," katanya.

Untuk rekod SMK Datuk Syed Ahmad antara 12 sekolah yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) terpilih mewakili negeri masing-masing untuk menyertai Pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) 2017 yang dianjurkan UMW Toyota.

Pertandingan itu bertemakan, 'Pengurangan Kesan Karbon' bermatlamat untuk mengurangkan gas rumah hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 2:56 PM