NUR Fatma separuh sedar akibat nahas motosikal kini dijaga Norhayati (kiri) dan kakaknya, Maizatul Fatanah.
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kemalangan pada enam Syawal lalu mengubah kehidupan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang kini hanya mampu terlantar dalam keadaan separuh sedar di rumahnya sejak bulan lalu.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar, Nur Fatma Hafazah Mat Nawi cedera parah di kepala selepas motosikal yang dibonceng bersama rakannya terbabas sebelum dia terjatuh.

Ibunya, Norhayati Jusoh, 51, berkata, akibat kemalangan itu anak kelapan daripada 11 beradik itu terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala dan lehernya terpaksa ditebuk untuk memudahkannya bernafas.

Katanya, selesai menjalani pembedahan, Fatma berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama dua minggu dan 17 hari ditempatkan di wad biasa sebelum dibenarkan pulang pada 24 Julai lalu.

“Sejak itu, Fatma hanya mampu terbaring dan segala keperluannya termasuk minum susu, membersihkan diri dan menukar lampin pakai buang diuruskan kakaknya (Maizatul Fatanah, 20).

“Dalam sehari, Fatma diberi minum susu sebanyak lapan kali melalui tiub yang dipasang di hidungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Terdahulu, Norhayati menerima kunjungan Penasihat Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Kelantan Datuk Mohamad Noordin Awang dan Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani yang meluangkan masa melawat dan bertanya khabar keadaan pelajar berkenaan.

“Untuk menguruskan Fatma, setiap bulan saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM700 bagi membeli lampin pakai buang, susu minuman harian, sewa katil RM10 sehari dan mesin sedut kahak RM10 sehari,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga ini, beliau akan memohon untuk mendapatkan katil daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 7:14 AM